Image hosted by Photobucket.com
Tuesday, August 31, 2004

Menilai Diri Di Bulan Kemerdekaan
Oleh Azrina SobianPegawai Penyelidik
11 Ogos 2004


Bulan ini bulan kemerdekaan. Sambutannya sudah mula di canang di seluruh negara. Pelbagai bakal program diadakan bagi mengisi bulan penuh makna ini. Mengibarkan bendera hinggalah ke perarakan, kemeriahannya jelas dirasakan.Namun, apakah sambutan kemerdekaan ini cukup sekadar berpesta sebegini? Apakah erti kemerdekaan ini benar-benar sudah dihayati?Erti kemerdekaan bagi golongan yang pernah dijajah amatlah tinggi. Menggenggam kemerdekaan ibarat bulan jatuh ke riba.Jerit-perih pemimpin terdahulu mencapai kemerdekaan sangat dihargai. Kepayahan YM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, berulang-alik ke London, merundingkan kemerdekaan akhirnya terbalas dengan jaminan kemerdekaan oleh Kerajaan British. Bukan Tunku sahaja, tetapi di belakang beliau, beratus-ratus orang yang lain harus mendapat pujian di atas usaha membebaskan Tanah Melayu dari belenggu penjajahan.Sayangnya kini, erti kemerdekaan sebenar kian luput. Bukan sahaja golongan ‘muda’ tidak jelas kefahaman mereka tentang erti kemerdekaan tetapi terdapat juga golongan ‘tua’ yang seakan lupa apakah makna kemerdekaan sebenar. Kemewahan dan kesenangan yang diperoleh kini melekakan kita akan hakikat kemerdekaan yang kita kecapi.Tanyalah kepada golongan muda kini, apakah makna kemerdekaan kepada mereka. Pasti jawapannya longgar dan hanya sekadar meniru apa orang lain kata. Ini membuktikan bahawa penghayatan kemerdekaan masa kini hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.Erti kemerdekaan kini tentulah tidak sama dengan zaman penjajahan dahulu. Ketika itu, kemerdekaan bermaksud membebaskan diri dari penjajahan. Apa yang mereka tuntut adalah agar Tanah Melayu itu diperintah oleh orang Melayu sendiri. Menyedari hakikat bahawa Tanah Melayu bukan sekadar dihuni oleh orang Melayu maka satu kerjasama antara orang Melayu, Cina dan India diadakan. Perjuangan sebagai satu pakatan ini lebih kukuh dan pastinya suara mereka lebih lantang dan berani.Di dalam dunia serba moden kini, erti kemerdekaan pastinya berbeza. Jika dahulu mereka inginkan kebebasan, tetapi kini, tugas kita adalah untuk mengisi kemerdekaan tersebut.Penulis berpendapat bahawa pengisian secara fizikal memang telah berjaya dilakukan. Apa yang tidak ada di Malaysia kini? Hampir semua yang dimiliki oleh bangsa maju telah ada di negara kita. Walaupun mungkin berbeza kualiti dan kuantitinya, namun kita sudah pun memiliki kemudahan setanding negara maju. Malahan, kita berpeluang pula untuk pergi ke negara-negara tersebut, melihat dan mempelajari teknologi mereka untuk diaplikasikan di negara ini.Oleh itu, pengisian fizikal bukan lagi satu persoalan penting. Apa yang lebih penting adalah pengisian kerohanian di dalam kemerdekaan sebagai asas kemajuan negara. Asas ini kian pudar dan luntur dari hari ke hari. Usaha pengukuhan asas ini memang ada tetapi usaha itu agak longgar dan tidak konsisten.Sering orang berkata bahawa ‘bangunan semakin tinggi tetapi nilai diri semakin rendah’. Lihat sahaja di sekeliling anda. Di mana-mana sahaja sampah dibuang merata-rata, golongan muda tidak menghormati golongan tua, dinding bangunan diconteng dengan kata-kata nista dan bermacam lagi.Itu baru sedikit. Bagaimana dengan anak-anak yang didera keluarga sendiri, kes ketagihan dadah dan AIDS yang semakin meningkat, pembunuhan berlaku hampir setiap minit, gejala rasuah dan beribu-ribu masalah yang tidak terdaya ditulis di sini.Apakah ini merdeka namanya? Jika inilah habuan yang diperoleh dari kemerdekaan yang ingin dicapai oleh pemimpin terdahulu, pasti pemimpin-pemimpin itu akan berasa begitu sedih. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar dari pembangunan yang kita inginkan.Penulis bukan anti pembangunan tetapi percaya bahawa satu masyarakat timur yang kaya dengan nilai-nilainya pasti dapat membangun mengikut acuannya yang tersendiri.Oleh itu, sempena bulan kemerdekaan ini, eloklah kita berhenti sejenak dan menilai diri kembali. Tanyakan kepada diri sendiri, adakah kebebasan yang aku peroleh ini sudah diisi dengan sebaik mungkin? Jika jawapannya tidak, maka mulalah memperbaiki diri.Pertama sekali, syukurilah nikmat kebebasan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Di dalam ayat 7, Surah Ibrahim, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.Kemerdekaan merupakan satu nikmat dan anugerah Allah s.w.t. yang paling berharga, malahan bukan semua orang dapat memilikinya. Oleh itu, kemerdekaan sentiasa ditagih. Jadi, syukurilah nikmat kebebasan yang kita miliki ini.Perkara kedua adalah untuk mengisi kemerdekaan. Kebebasan yang diperoleh ini perlulah diisi dengan input-input yang akan membina insan merdeka bukan sahaja fizikalnya tetapi yang lebih penting adalah merdeka mindanya.Perkara yang paling utama adalah menjadikan rakyat Malaysia sebagai individu-individu mulia yang berpegang kuat kepada nilai hidupnya.Hasrat ini boleh dicapai dengan menekankan kepada aspek pendidikan insan yang berterusan. Kemerdekaan yang kita peroleh ini sebenarnya membuka ruang yang seluas-luasnya untuk pengembangan ilmu di dalam pelbagai bidang.Ilmu yang dipelajari juga boleh digunakan untuk membina kekuatan ekonomi sesebuah negara. Pada masa kini, jika sesebuah negara itu lemah ekonominya, maka negara tersebut bakal menjadi mangsa penjajahan yang paling rapuh.Lihat sahaja kepada negara-negara Islam di dunia kini. Akibat kedudukan ekonomi mereka yang lemah, mereka begitu mudah dikotak-katikkan dan suara mereka diabaikan. Inilah penjajahan bentuk baru dalam dunia yang serba mencabar ini.Selain ekonomi, kepintaran dalam bidang sains dan teknologi juga perlu dikuasai. Kemahiran yang tinggi dalam bidang ini merupakan satu senjata penting bagi menjamin kedaulatan sesebuah negara.Akhir sekali, fahamilah erti kemerdekaan yang sebenarnya. Hayatilah perjuangan pemimpin lalu dan dengan itu kita akan dapat mengecap kenikmatan kemerdekaan yang kita miliki ini. Di samping itu, binalah perwatakan diri yang mulia sebagai salah seorang rakyat di sebuah negara merdeka. Kemerdekaan ini kemerdekaan kita, jangan sampai dirampas lagi.

[[ mujahidah_cyber]]*|6:36 PM|

pr0file`

name.Mujahidah_Cyber
birthday.28 MarCh 1983
email.mujahidah_cyber@yahoo.com

l0ves!`

Anime,Books,Cartoons,Business((:

hates!`

Liar!Hypocrite! )):

music playing ]]

song:

dar liinks`

|Blog ADLI| Blog MAR| Blog ZIKRI| links|
|links| links| links| links|
|links| links| links| links|
|links| links| links| links|

taggy!`((:

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.comGet awesome blog templates like this one from BlogSkins.com